Tuesday, January 26, 2010

Diuji kesesakan lalu lintas




SAIZNYA lima kali ganda lebih besar daripada Kuala Lumpur. Dengan jumlah penduduk seramai 8.5 juta orang, Jakarta mempunyai kesemua ciri sebuah bandar raya yang progresif. Antaranya bangunan pencakar langit, rangkaian jalan raya yang baik dan kemudahan awam.

Ibu negara Indonesia itu dijangka muncul sebagai bandar raya kelima terbesar di dunia menjelang 2015, namun lawatan ke kota raya tersebut baru-baru ini menunjukkan kesesakan lalu lintas yang teruk antara masalah yang perlu ditangani.


PENIAGA jamu di Jakarta, Wati (kiri) memberi pelanggannya, Lali, minuman tonik kesihatan.


Jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur kesesakan pada waktu puncaknya jauh lebih baik berbanding di Jakarta.

Jika penerbangan dari Sepang ke Jakarta hanya mengambil masa dua jam, sebaliknya perjalanan dengan teksi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta ke Grand Melia Jakarta sejauh 35 kilometer mengambil masa 2 jam 40 minit.


PENGEMIS kanak-kanak salah satu pemandangan biasa jalan raya-jalan raya di Jakarta.


Perjalanan tersebut ternyata meletihkan. Sekitar pukul 6 petang, perjalanan lancar untuk 20 minit pertama tetapi apabila memasuk ke pusat bandar dalam keadaan hujan renyai-renyai, kenderaan mula bergerak perlahan. Pada mulanya saya beranggapan mungkin trafik akan lancar selepas jarak tertentu, tetapi jangkaan saya meleset.

Ketika terperangkap di atas jalan, saya memerhatikan lautan kenderaan yang berasak-asak di Jl. Gatot Subroto menghala ke Jl. H.R. Rasuna Said dan aktiviti-aktiviti di sekitarnya.


BERSEDIAKAH Jakarta diiktiraf menjadi bandar kelima terbesar di dunia menjelang 2015?


Di kota itu dianggarkan terdapat lebih dua juta kereta dan enam juta pengguna motosikal dan bilangan mereka meningkat sebanyak sembilan peratus setiap hari.

Resah

Kelihatan beratus-ratus buah motosikal menguasai lorong paling kiri daripada empat lorong yang ada. Pemandangan bangunan tinggi dan pencakar langit umpama cendawan tumbuh selepas hujan begitu mengagumkan. Namun, terdapat bangunan usang yang terselit di celah-celahnya.




Trafik mula mara sedikit demi sedikit dan terhenti lagi. Pemandu-pemandu yang hilang sabar mula menukar lorong. Meskipun polis trafik mengawal lalu lintas di simpang-simpang, namun tidak banyak yang boleh mereka lakukan.

Semasa kami terperangkap dalam kesesakan itu, saya keresahan dan bertanya kepada pemandu yang dikenali sebagai Agus.

"Hotel ini tidak begitu jauh tuan, tetapi saya tidak pasti bila kita boleh sampai ke situ," jawab Agus sambil mengurut kaki kirinya yang letih kerana terpaksa menekan dan melepaskan klac.

Menurut Agus, situasi itu berlaku saban hari. "Ya, tetapi hari ini kita bukan sahaja masuk pusat bandar pada waktu puncak, bahkan hujan turun lebat sebelum itu."


JAKARTA terkenal dengan kota beli-belah.


Jalan-jalan yang penuh sesak itu mewujudkan satu budaya baru yang unik di atas jalan. Terdapat penjaja yang bergerak dari sebuah kereta ke kereta menjual air mineral, makanan ringan dan buah-buahan.

Lebih menarik, ada juga yang membuka gerai-gerai kecil menjual barangan makanan di atas pembahagi jalan.


KOPAJA yang mirip bas mini hanya mengenakan tambang RM7 seorang.


Pada sebelah pagi, beberapa laluan utama termasuk Jl. Jend. Sudirman, Jl. Rasuna Said, Jl. MH Thamrin dan Jl. Gatot Subroto melarang masuk kenderaan persendirian yang kurang daripada tiga orang penumpang tetapi menurut Agus para pemandu menggunakan helah untuk mengatasi larangan itu. Mereka akan menyewa penumpang.

Selain itu terdapat individu tertentu yang menghentikan trafik untuk membolehkan kereta-kereta masuk ke jalan-jalan utama dari jalan-jalan kecil. Perkhidmatan itu lazimnya dibayar oleh pemandu kerana khidmat tersebut amat diperlukan.


GETEK merupakan salah satu pengangkutan alternatif dengan tambang di antara 15 sen hingga 40 sen seorang.


Hiburan nyamen

Pada malam berikutnya, trafik di luar hotel menggerunkan dan saya mula bimbang terperangkap dalam kesesakan.

Seorang rakan dari Indonesia, Zaimah mencadangkan menggunakan khidmat bas Kopaja (Koperasi Angkutan Jakarta). Kopaja mirip bas mini yang pernah beroperasi di Kuala Lumpur satu ketika dahulu, bezanya bas itu lebih besar sedikit.

"Tambangnya murah Rp20,000 (RM7) dan anda akan leka dengan apa yang berlaku di dalamnya," kata Zaimah.

Setelah menaiki bas tersebut apa yang dikatakan oleh Zaimah ada kebenarannya. Selain muka-muka penumpang yang keletihan, saya menyaksikan satu lagi budaya atas jalan.

Selepas bas mula bergerak seorang penghibur jalanan naik dengan gitar dan mendendangkan sebuah lagu daripada kumpulan popular di Indonesia, Krispatih.


KESESAKAN lalu lintas di Jakarta menyebabkan ramai pelancong yang hilang sabar.


Habis saja persembahan, pemuda itu mendoakan perjalanan selamat bagi semua dan menghulurkan topi meminta sumbangan ikhlas. Kemudian satu pasangan duet pula masuk untuk menghiburkan penumpang.

Sepanjang perjalanan kami dihiburkan sekali gus berjaya mengalihkan perhatian saya daripada kesesakan trafik yang menyusur perlahan.

Zaimah memberitahu, di Jakarta penghibur jalanan itu dikenali sebagai nyamen. Vendor-vendor yang menjual makanan ringan dan minuman juga sentiasa sibuk dengan perniagaan mereka di sepanjang perjalanan.

Memandangkan Jakarta tidak mempunyai sistem transit aliran ringan (LRT), satu-satunya kaedah pengangkutan awam yang cekap di kota itu ialah pengangkutan cepat bas (BRT) dan Trans Jakarta yang menggunakan laluan bas khusus. Ia juga meliputi sebahagian besar kawasan Jakarta selatan dan tengah.

Bas berhawa dingin itu mempunyai dua pintu besar. Para penumpang naik dan turun melalui perhentian khas di bahagian tengah jalan raya.

Istimewanya, penumpang hanya perlu membeli satu tiket sahaja dan boleh ke mana sahaja. Cuma, mereka mungkin perlu bertukar bas.

Bagaimanakah warga kota Jakarta mengharungi kesesakan lalu lintas di atas jalan setiap hari? Rata-rata jawapan yang diterima ialah: "Kami sudah biasa".

"Semasa dalam bas saya melihat ke sekeliling atau membaca buku. Ini membantu saya mengelakkan stres," ujar Zaimah yang mahu biasakan diri dengan situasi itu. - Bernama

Oleh RAVICHANDRAN D.J PAUL

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm