Tuesday, September 23, 2014

Haji Abdullah Hukum (1835 - 1930an)


Nama asal Haji Abdullah Hukum ialah Muhammad Rukun dan kemudiannya digelar mengikut adat sebagai Arya Jaya. Apabila beliau menunaikan fardu Haji ke Mekah semasa di Padang Arafah beliau digelar sebagai Haji Abdullah Hukum. Nama ini kekal hingga ke akhir hayatnya. Haji Abdullah Hukum juga dikenali dengan gelaran anugerah sultan iaitu " Datuk Dagang Di Anjuk ". Haji Abdullah Hukum telah dilahirkan pada 1835 dan kembali mengadap Ilahi pada sekitar tahun 1930-an. 

Ayahandanya pula bernama Sekancing, ertinya " kunci pintu " dan bergelar Tuk Pangku. Namanya ditukar kepada Haji Abdul Rahim, semasa berada di Padang Arafah.Haji Abdullah Hukum ini adalah dari suku kaum kerinci dan berasal dari kariah Sungai Abu, jajahan Sungai Penoh di negeri Kerinchi, Sumatera, Indonesia.

Beliau datang berdagang bersama ayahandanya ke Tanah Melayu pada tahun 1850, ketika berumur 15 tahun. Mereka telah singgah di Melaka selama tiga malam dan menumpang di rumah Datuk Dagang Haji Said, bapa mertua kepada Tambi Abdullah yang terkenal kaya di Kuala Lumpur. Dari Melaka mereka belayar menuju ke Pengkalan Kempas. Dari situ Haji Abdullah Hukum mengambil upah menggalas kain daripada seorang saudagar kain keturunan Kerinci, iaitu Haji Abdul Rahim untuk pergi ke Sungai Ujong. Mereka tinggal di situ selama lapan hari dan disebabkan tiada pekerjaan yang sesuai, mereka mengikut orang-orang menggalas kain untuk pergi ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur dikatakan banyak pekerjaan, seperti boleh bertanam sayur dan melampan bijih timah.

Haji Abdullah Hukum telah menetap di Selangor selama lebih daripada 85 tahun, iaitu semasa berumur 24 tahun di bawah kerajaan Melayu (1850-1874) dan 61 tahun di bawah pemerintahan kerajaan kolonial British (1874-1930-an).

Haji Abdullah Hukum telah tinggal lama di Tanah Melayu dan hidup di dua zaman yang berlainan iaitu lebih dua dekad hidup di zaman "keris dan pemuras" di bawah pemerintahan kerajaan Melayu dan lebih enam dekad selanjutnya di bawah pemerintahan kolonial British.

Di sepanjang zaman tersebut beliau telah terlibat dalam berbagai-bagai kegiatan untuk mencari rezeki. Mula-mulanya beliau bekerja dengan Sutan Puasa, mengambil upah membuat tali air di Segambut (Batu Lima di Setapak) dan selepas itu melampan di Setapak selama beberapa tahun. Tidak lama selepas itu ia menjadi petani dan kontraktor membina batas untuk Raja Bilah.

Haji Abdullah Hukum juga pernah menjadi juak-juak kepada Raja Mahmud bin Tengku Panglima Raja, seorang pembesar Selangor. Belia turut memainkan peranan dan terlibat dalam beberapa peperangan di Selangor sehingga 1870-an.

Selain itu beliau pernah menjadi peniaga kain di Semenyih, membuka tanah dan perkampungan di Pudu dengan perkenan Raja Laut yang ketika itu menjadi Raja Muda Selangor. Haji Abdullah Hukum di¬angkat menjadi Penghulu Masjid di Pudu oleh Raja Laut. Beliau juga pernah menjadi nakhoda mengambil upah membawa beras dari Kelang ke Kuala Lumpur dengan perahu dan membeli kerbau dari Pahang dan Dungun di Terengganu untuk diniagakan di Kuala Lumpur. Selain itu, beliau juga mendapat kebenaran membuka kebun di Bukit Nenas dan membuka kawasan perkampungan Sungai Putih, iaitu di Jalan Bangsar kini. Akhirnya beliau menetap di Sungai Putih, iaitu di kampung yang kini dikenali sebagai Kampung Haji Abdullah Hukum. Beliau telah dilantik oleh Sultan Sir Abdul Samad (1857-1898) sebagai salah seorang ketua masyarakat di Kuala Lumpur dengan gelaran Tuk Dagang Dianjuk. Apabila umurnya meningkat hampir 80 tahun (1912) beliau memohon bersara dari jawatan ketua itu dan mendapat pencen daripada kerajaan.

Haji Abdullah Hukum mempunyai seorang anak lelaki beliau adalah Haji Mahmood saudagar kain yang kaya pada zaman sebelum jepun menduduki Tanah Melayu. Pada tahun 1930-40an Haji Mahmood mempunyai dua anak lelaki iaitu Hashim dan Rahim. Dipercayai Haji Abdullah Hukum amat sayang kepada dua orang cucu lelaki nya. Mengikut sejarah masyarakat setempat di Kajang Haji Mahmood adalah seorang Melayu kaya yang pemurah, beliau suka menderma dan memberi makanan kepada penduduk fakir dan seluruh penduduk Kajang, bak kata orang Minangkabau " Haji Mahmood berantai baik nya "

Zaman keris dan pemuras

Selepas beberapa hari saja beliau berhijrah ke Tanah Melayu , semasa dalam perjalanan dari Sungai Ujung ke Kuala Lumpur beliau telah melihat satu kejadian yang dahsyat di Kajang. Beliau telah melihat perlawanan senjata yang dinamakan bertikam. Dalam kejadian itu ada seorang telah mati, ditikam oleh orang ramai sehingga darah nya mengalir. kejadian itu adalah disebabkan perempuan. Peristiwa ini berlaku pada 1850, tetapi ini bukanlah peristiwa terakhir yang dilihatnya kerana beliau juga turut menyaksikan "orang bertikam satu lama satu antara orang Pahang dengan orang Pahang juga, semasa ia membeli kerbau di Lubuk Terua (Semantan) Pahang. Menurutnya peristiwa itu berlaku " kerana yang seorang itu enggan memulangkan amanah dari Kuala Lumpur ... Yang mati itu ialah orang yang enggan ".

Sebenarnya banyak sekali peristiwa pembunuhan yang telah disaksikan beliau,ini adalah kerana kerana kekacauan sering berlaku di Selangor seperti di Cheras, Hulu Kelang, Ampang, Hulu Langat dan termasuk Kuala Lumpur sebelum pertengahan tahun 1870-an. dan beliau sendiri adalah juak-juak kepada seorang pembesar Selangor, iaitu Raja Mahmud. Perang atau kekacauan ini selalunya berpunca daripada perebutan kawasan yang mengandungi hasil bijih dan seterusnya untuk berkuasa di sesuatu kawasan itu. Di Selangor contohnya, pada 1858 dikatakan telah berlaku pergaduhan di antara Raja Bugis dengan Raja Mengampang, kedua-duanya orang Mendahiling. Raja Mengampang mempunyai lampan bijih di Hulu Langat dengan kebenaran Sultan Abdul Samad. Tetapi Raja Bugis dari Kajang hendak membuka lampan pula di sebelah hulu Sungai Langat. Ini menimbulkan kemarahan Raja Mengampang. Haji Abdullah Hukum berkata, "Menurut adat zaman berkeris dahulu, ketika itu kita wajib menghunus senjata". Inilah yang berlaku hingga ramai kedua belah pihak tersebut terkorban. Pergaduhan itu berlaku selama tiga bulan.

Satu lagi contoh "zaman keris dan pemuras" ialah peristiwa yang berlaku di antara Raja Mahmud, Ketua kepada Hj. Abdullah Hukum dengan Raja Layang. Raja Mahmud ialah salah seorang pembesar Selangor di Kuala Lumpur yang berperang menentang serangan orang Pahang di sekitar 1873, di Hulu Kelang. Manakala Raja Layang (orang Minangkabau) telah bersekutu dengan orang Pahang. Raja Layang dikatakan telah melarikan diri ke Rekoh dan dengan itu Raja Mahmud berazam untuk membunuhnya. Raja Mahmud telah berangkat ke Kajang, tetapi Raja Layang yang berada di Rekoh sudah pun melarikan diri. Haji Abdullah Hukum adalah di antara ramai panglima dan juak-juak Raja Mahmud pada masa itu. Menurutnya sebaik saja Raja Mahmud tiba di Rekoh, dia telah bertemu dengan seorang Minangkabau yang nampaknya tidak ambil peduli kepadanya. Raja Mahmud bertanya seperti berikut: "Awak orang mana?" Jawabnya, "Saya orang Minangkabau", Raja Mahmud bertanya lagi, "Siapa ketuaan awak?" Jawabnya, "Raja Layang". Dengan itu dikatakan, "Itulah dua patah soal jawab sahaja. Orang itu pun ditikam oleh Raja Mahmud sama sekali sahaja mati di situ jua".

Raja Mahmud memasuki pekan Rekoh untuk mencari Haji Abdul Samad, orang Minangkabau juga. Apabila ditemui Haji Abdul Samad, Raja Mahmud bertanya, "Siapa ketuaan Pak Haji? Jawabnya, "Tuankulah!" Dengan itu, niat Raja Mahmud hendak membunuhnya tidak terlaksana. Di sebaliknya, "Haji Abdul Samad dipeluknya" dan diberikan "wang sepuluh ringgit belanja menanam orang yang di¬tikamnya tadi". Selepas peristiwa ini Raja Mahmud pulang ke KuaIa Lumpur.

Ini adalah satu aspek daripada adat di zaman tersebut. Namun begitu, terdapat juga adat di mana seorang pembesar seperti Raja Mahmud ini dikehendaki membayar diyat apabila anak buahnya melakukan kesalahan. Satu peristiwa yang diceritakan oleh Haji Abdullah Hukum ialah mengenai seorang keturunan Kerinchi yang mengambil upah menggalas bijih timah terbunuh dalam satu rompakan. Perompak itu dikatakan orang Raja Mahmud. Dengan itu sekumpulan 30 orang Kerinchi telah pergi menemui Raja Mahmud. Dialog berikut membawa maksud yang tersendiri,

"Apabila sirih telah dikapur maka Imam Perang Mangku iaitu kepala dan jurucakap orang Kerinchi itu pun berkata harap diampun Tengku? Kedatangan patik-patik semua ini ialah kerana hendak mengadu seorang daripada waris kami telah mati dalam kawasan Tengku. Itulah kami sembahkan jika hilang minta dicari, cicir minta dipungut, kalau luka minta dipampas dan jika mati minta didiyat".

Raja Mahmud telah memberikan "sarong keris terapang emas" sebagai jadi tanda diyat itu dan ini akan ditebusnya dengan wang $100 kemudiannya.

Haji Abdullah Hukum dan Kuala Lumpur

Apabila Hj. Abdullah Hukum mula-mula sampai di Kuala Lumpur, beliau menumpang tinggal di rumah Haji Abdul Ghani, orang Air Bangis (Minangkabau) yang berkedai di suatu lorong yang kemudiannya dikenali sebagai Java Street. Selain itu pekan Kuala Lumpur hanya mempunyai satu lorong lain, iaitu dikenali kemudiannya sebagai Market Street semasa itu Ampang Street (Lorong Ceti) belum muncul lagi. Di kawasan ini terdapat kolam-kolam ikan yang dimiliki oleh Sutan Puasa. Beliau bersama Raja Bilah ialah pembesar bagi masyarakat Kuala Lumpur ketika itu bertugas mengutip hasil dagangan yang lalu lintas melalui Sungai Kiang atau Sungai Gombak. Cukai timah ialah seringgit sebahara (tiga pikul).

Di tahun 1850-an itu rumah kedai di Kuala Lumpur beratap bertam, dinding pelupuh (buluh) dan orang yang berniaga di situ seperti menjual kain-kain dan makanan semuanya orang Melayu, iaitu keturunan Rawa dan Mandailing.

Jalan keluar masuk kuala Lumpur ialah menggunakan perahu atau berjalan kaki. Perahu dagang mengambil masa di antara 10-15 hari bergalah dari Kelang untuk sampai ke Kuala Lumpur. Kalau airnya daiam boleh sampai dalam tiga hari.

Bermula dari tahun 1859, penduduk Kuala Lumpur menjadi semakin bertambah. Pembesar-pembesar Melayu mula menggunakan ramai pekerja Cina untuk membuka kawasan lombong di sekitar Kuala Lumpur, terutamanya di Ampang. Akibatnya orang-orang Cina juga mula terlibat dalam perniagaan. Yap Ah Loy, Kapitan Cina (1868-1885) memiliki kira-kira separuh daripada rumah kedai di Kuala Lumpur.

Sehingga awal 1880-an hanya 70 daripada 220 rumah kedai berada di tangan orang Melayu. Menurut Haji Abdullah Hukum, orang-orang Melayu yang kaya pada masa itu kebanyakannya ialah orang Minangkabau.

Selain golongan peniaga, terdapat juga orang Melayu yang membuka beberapa kawasan penempatan dan kebun di Kuala Lumpur. Di antaranya ialah di Setapak yang dahulunya dikenali sebagai Sungai Tapak, di Pudu, Bukit Nenas, Petaling, Batu dan di Sungai Putih (Jalan Bangsar).

Antara tanaman penduduk Melayu di tempat-tempat tersebut ialah padi, sayur-sayuran, tebu, pisang, sirih. Pokok-pokok yang disukai oleh orang Melayu yang menerokai pembukaan Kuala Lumpur ini ialah kopi dan lada hitam.

Disebabkan penduduk Melayu di pusat bandar Kuala Lumpur ketika itu agak ramai, maka didirikan juga dua buah masjid. Yang pertama didirikan oleh Encik Baki, orang Melaka yang juga bapa mertua kepada Haji Abdullah Hukum dan dinamakan Masjid Melaka kerana ia didirikan atas pakatan orang Melaka dan tukang serta pegawainya juga terdiri daripada mereka. Tempat masjid itu ialah di Kampung Melaka (Batu Lane kemudiannya). Tetapi masjid itu akhirnya diambil alih oleh masyarakat India Muslim dan sejak itu (terutamanya pada 1930-an) ia dikenali sebagai Masjid Keling atau Masjid Chulia. Pada ketika itu orang Minangkabau juga telah mendirikan sebuah masjid lain, iaitu berdekatan dengan gedung Gian Singh pada 1930-an.
55 mins · Like · 6

Hangpcdua Malaya Disebabkan adanya dua buah masjid bagi masyarakat Melayu di Kuala Lumpur, maka terjadilah perselisihan kerana masing-masing hendak mendirikan solat Jumaat di Masjid mereka. Ini hampir menimbulkan perkelahian besar. Tetapi dengan campur tangan Sultan Abdul Samad, sembahyang Jumaat telah diadakan secara bergilir-gilir maka selesailah perselihan faham tersebut.

Sejak Kuala Lumpur dibuka hingga 1890-an, Bukit Nenas adalah pusat kuasa bagi masyarakat Melayu kerana wakil Sultan menetap di situ. Jika ada sebarang keramaian tradisional seperti sempena perlantikan ketua atau pembesar masyarakat Melayu, maka ia diadakan di Bukit Nenas. Antaranya sempena perlantikan Tuk Alam Setapak, Tuk Bela Sungai Cantik, Imam Perang Muhammad Arif, Raja Utih dan Tuk Dagang Dianjuk (Haji Abdullah Hukum sendiri), dimana satu keramaian telah diadakan selama tujuh hari tujuh malam menurut adat keramaian zaman dahulu.

Sungguhpun Kuala Lumpur menjadi semakin maju dan berkembang pesat selepas campur tangan British pada 1875, namun penduduk Melayu yang berjaya untuk berkongsi kemajuan awal Kuala Lumpur sejak 1850-an telah mula tersisih daripada arus pembangunannya.Ini dikuatkan lagi dengan perkembangan dimana masyarakat Melayu telah berpindah dari bandar Kuala Lumpur untuk membuka perkampungan baru di pinggir kota, berakhirnya pemilikan Masjid Melaka oleh orang Melayu Melaka,penutupan perkuburan Islam (Melayu) di kuala antara Sungai Gombak dengan Sungai Klang, terbentuknya Kampung Baru, Kuala Lumpur atas usaha pentadbiran British untuk melihat masyarakat Melayu berterusan berada di sekitar bandar Kuala Lumpur, tetapi berada dalam dunia mereka yang tersendiri, iaitu dibuai oleh nostalgia hidup dalam alam perkampungan yang aman damai.

Dewasa ini nama Haji Abdullah Hukum hanya tercatat pada nama Kampung Hj Abdullah Hukum, ramai yang tidak tahu tentang beliau dan kaitan beliau dengan sejarah Selangor dan Kuala Lumpur.Maka dengan itu usaha-usaha harus dijalankan untuk menyelidiki dengan lebih dalam lagi tentang susur galur dan sejarah beliau demi mengelakkan sejarah negara kita akan terus terkubur.

credit to : https://www.facebook.com/hangpcdua.malaya?fref=nf