Sunday, January 25, 2015

Wira-Wira Selamatkan Gua Musang Dari Komunis Perak

sokmo.net
Pada 13 Januari 2015, Sokmo.Net menyiarkan artikel bertajuk Republik Komunis Gua Musang. Artikel kali ini menceritakan bagaimana perajurit-perajurit negara berkorban nyawa memastikan Gua Musang tidak kekal lama di bawah penguasaan pengganas komunis yang kebanyakkannya berasal dari Perak.
Sebulan selepas darurat 1948 diisytiharkan, segerombolan pengganas komunis lengkap bersenjata telah menawan pekan Gua Musang dan mengisytiharkannya sebagai ‘kawasan bebas’.
Terletak di sempadan antara Kelantan dengan Pahang, pekan itu mempunyai penduduk kira-kira 1,000 orang.
Kebanyakan mereka pekedai-pekedai Cina yang menjual bahan-bahan makanan kepada penduduk-penduduk dan penoreh-penoreh getah yang berselerak di kawasan seluas 20 batu.
Di antara yang mendiami di daerah itu ialah penduduk-penduduk Cina kampung Pulai di sebelah timur, dan orang-orang Melayu dari kampung Mentara dan Merapoh, di selatan.
Balai Polis Gua Musang terletak di bangunan usang perhentian keretapi dan diketuai seorang inspektor Melayu. Manakala sebuah dispensari kerajaan dikelolai seorang India terletak di tepi jalan.
Keputusan menawan Gua Musang telah diambil oleh segerombolan komunis Cina dari Perak yang telah menyeberangi Kelantan, awal bulan Julai 1948 dengan menggunakan jalan yang dilalui mereka sewaktu pendudukan Jepun.
Setelah mengadakan perhubungan dengan komunis Pulai, komunis Perak kemudian memasuki Gua Musang dan mengambil alih dispensari kerajaan, dan dijadikan markas mereka.
Seorang penghulu Cina dari Pulai dipaksa menjadi talibarut untuk mengumpan inspektor polis ke dalam perangkap komunis.
Awal pagi, 17hb Julai 1948, penghulu itu mengetuk pintu rumah inspektor dan memberitahu bahawa dia diperlukan di dispensari dengan segera.
Kira-kira jam 5 pagi, Inspektor Melayu tiba di dispensari. Inspektor itu ditawan dan senjatanya dirampas.
Inspektor itu dijadikan tebusan dan di arah membawa beberapa pengganas komunis ke balai. Beliau bersetuju.
Bagaimanapun sebelum tiba di balai, inspektor itu melepaskan diri. Pengganas komunis melepaskan tembakan tetapi dia berjaya mengelak dan berlari ke arah balai sambil menjerit memberitahu anggota-anggota yang bertugas bahawa mereka telah diserang komunis.
Pada jam 5.30 pagi, bermula tembak menembak di antara pihak polis dan pengganas komunis tadi. Ia berlarutan untuk beberapa jam sehinggalah pasukan polis kehabisan bekalan peluru. Balai itu jatuh ke tangan pengganas dan semua anggota polis diambil sebagai tebusan.
Lolos
Sewaktu tembak menembak mula tercetus, seorang mata-mata polis sedang mandi di Sungai Galas.
Menyedari balai itu telah diserang pengganas, tanpa membuang masa dia membuat rakit dan menggunakan sungai itu untuk ke Bertam.
Setelah membuat laporan di balai polis Bertam, dia menaiki bot ke hilir menuju ke ibu pejabat polis daerah Kuala Krai.
Pihak di Kuala Krai segera menghantar laporan ke Kota Bharu, Kuala Lumpur dan Kuala Lipis. Esoknya pasukan polis dari Bertam di arahkan berundur ke Kuala Krai, kerana dikuatitri akan turut diserang komunis.
Ehsan National Library Board Singapore.
Ehsan National Library Board Singapore.
Serang Hendap
Pemimpin-pemimpin komunis yang menawan Gua Musang telah mendapat latihan ketenteraan oleh Force 136 sewaktu Perang Dunia Ke dua.
Antara modus operandi gerakan gerila yang diajar oleh Force 136 ialah menawan balai-balai polis terpencil sebagai umpan. Mereka kemudian akan menunggu untuk menyerang hendap pasukan bantuan yang datang bagi merampas senjata dan lain-lain bekalan.
Kerana kedudukan Gua Musang bantuan akan datang dari Kuala Lipis dan Kuala Krai. Pengganas komunis menyusun serang hendap di dua kawasan.
Posisi serang hendap pertama ialah 40 kilometer ke selatan, di atas bukit mengadap lintasan keretapi dekat jambatan Sungai Yu. Di sini mereka menanti pasukan bantuan dari Kuala Lipis.
Sasaran kedua ialah 40 kilometer ke utara, di tebing tempat bot berlabuh di Bertam. Hanya ini laluan yang boleh digunakan untuk menghantar bantuan segera ke Gua Musang dari Kuala Krai.
Pasukan Bantuan dari Kuala Lipis
Apabila Ketua Pegawai Polis Pahang menerima laporan dari Kuala Krai, beliau segera memaklumkan kepada batalion ke dua Rejimen Askar Melayu yang berpengkalan di Kuala Lipis.
Malay_Regiment_operatives_1949
Mejar R. Henderson, Ketua C Company batalion ke dua Askar Melayu mengetuai sendiri pasukan peninjau yang segera bergerak ke Gua Musang.
Jeep yang membawa Henderson melintasi posisi serang hendap gerila komunis di Sungai Yu. Pengganas komunis bagaimanapun tidak bertindak. Mereka mahukan habuan lebih besar.
Tanpa sebarang halangan, Henderson tiba di pekan Gua Musang. Beliau mendapati kedai-kedai di situ dibuka seperti biasa.
“Tidak ada apa-apa di sini Encik,” ujar pekedai-pekedai Cina, dan Henderson kembali ke Kuala Lipis dengan laporan bahawa tiada kesan gerila komunis telah mengambil alih Gua Musang.
Police_in_Malayan_Emergency
Bagaimanapun, usaha Henderson tidak berakhir di situ. Dua hari kemudian, Henderson yang masih tidak berpuas hati, memutuskan untuk menyiasat dengan lebih menyeluruh.
Kali ini beliau membawa pasukan peninjau yang lebih besar dengan diiringi oleh 3 buah trak tentera lengkap dengan askar-askar dan anggota polis.
Pasukan yang diketuai Henderson hanya berbekalkan ration makanan tengahari, 30 round peluru setiap seorang serta dua Bren Gun, dan tanpa bom tangan.
Jeep yang membawa Henderson berada di belakang trak pertama. Kesemua trak tidak bertutup.
Duduk di depan salah satu trak itu ialah Wan Abdul Rahman, penjaga wireless. Beliau menerima arahan untuk menghantar laporan ke Kuala Lipis setiap 30 minit.
Pada jam 12.55 tengahari, trak yang membawa Abdul Rahman melintasi kawasan posisi serang hendap Sungai Yu, di mana gerila komunis seramai 40 orang menanti mereka.
Tiada Berita
Di markas Batalion ke dua Rejimen Askar Melayu, Kapten Taib, pegawai pemerintah C Company mendapati tiada laporan diterima dari Abdul Rahman, sedangkan unit-unit lain menghantar laporan seperti diarahkan, setiap 30 minit.
Usaha Taib untuk menghubungi Abdul Rahman tetapi gagal.
Apabila jeep yang membawa Mejar Henderson tiba di lembah mengadap lintasan keretapi berdekatan jambatan Sungai Yu, mereka melihat trak yang dinaiki oleh Abdul Rahman tidak bergerak.
Jeep Henderson dan dua trak lagi menghampiri trak tersebut dan mendapati trak Wan Abdul Rahman dan Prebet Mat Johor yang berada di dalam trak itu telah terkorban. Platon Sarjan Osman, Prebet Ghani bin Kassim dan pemandu trak pertama pula berlindung di bawah trak.
Henderson dan anggota-anggotanya kini berada ditengah-tengah sasaran gerila-gerila komunis.
Mereka diserang dengan tembakan dari atas bukit.
Jeep Henderson menjadi sasaran mudah. Prebet Nazri yang berada di dalam jeep itu terkorban serta merta. Pemandu Jeep, Prebet Mohd Radzi dan Koperal Ismail pula tercedera.
Anggota-anggota tentera di dalam trak-trak lain berjaya merangkak mencari perlindungan.
Abdul Ghani
Lance Koperal Abdul Ghani bin Raof, yang berada di hadapan trak ke dua berjaya berlindung berdekatan rusuk kiri lintasan keretapi.
Mereka yang terselamat terus diasak dengan tembakan oleh gerila-gerila komunis selama 3 jam.
Ehsan National Library Board Singapore.
Ehsan National Library Board Singapore.
Menjelang senja pasukan Askar Melayu mendapati mereka sudah hampir kehabisan peluru.
Lance Koperal Abdul Ghani membuat keputusan meninggalkan tempat perlindungan dan merangkak menuju ke trak pertama, di mana Sarjan Osman terperangkap
Abdul Ghani mendapati ketiga-tiga mereka cedera dan tidak upaya bergerak. Abdul Ghani juga dapat melihat jeep Mejar Henderson di hadapannya, tetapi tidak sebarang pergerakan manusia di situ.
“Saya pekik sekuat-kuat hati, Tuan! Tuan!” ingati Abdul Ghani.
“Suara saya itu dijawab oleh komunis-komunis yang masih dalam posisi serang hendap.
“Tuan sudah mati! Baiklah serah diri!” teriak komunis-komunis itu kepada Abdul Ghani.
“Saya dan perajurit-perajurit lainnya menjawab, tidak, tidak, kami tidak akan serah diri,” kata Abdul Ghani.
Abdul Ghani dan beberapa anggota Askar Melayu yang masih hidup kemudian melepaskan tembakan ke arah suara-suara komunis yang mengejek mereka.
“Saya pun beritahu Sarjan Osman, saya mahu ketiga-tiga trak itu diundurkan jauh dari sasaran serang hendap.
“Sarjan Osman bersetuju,” kata Abdul Ghani.
Abdul Ghani kemudian memerintahkan dua perajurit yang membawa Bren Gun untuk menembak ke atas bukit.
“Saya mahu supaya komunis-komunis itu tidak dapat menembak kami bila trak-trak itu berundur dari tempatnya,” jelas Abdul Ghani.
Abdul Ghani kemudian mengheret Sarjan Osman dan Prebet Ghani ke trak. Beliau juga berjaya menarik jenazah perajurit Wan Abdul Rahman.
“Trak itu cermin pecah kena peluru, mujur enjin dan tayarnya tak apa-apa,” ujar Abdul Ghani.
Berkat kecekalan Abdul Ghani dan anggota-anggota yang lain, sebelum matahari terbenam, kesemua anggota berjaya dibawa keluar ke tempat selamat.
Jika tidak kerana kemampuan Abdul Ghani berfikir dengan baik di dalam keadaan diserang hendap itu, sudah tentu lebih ramai yang terkorban.
Bertam
Sementara itu, pasukan bantuan dari Kota Bharu turut digerakkan ke Gua Musang. Ia di ketuai oleh Ketua Siasatan Jenayah Kelantan, David Yates. Pasukan itu terdiri daripada pihak Askar Melayu dan anggota polis.
Dari Kuala Krai, pasukan bantuan itu mudik dengan bot ke Bertam.
Gerila-gerila komunis yang menaiki bas dari Gua Musang sudah bersedia menanti untuk menyerang hendap apabila pasukan itu berlabuh di pengkalan bot.
Orang-orang Melayu tempatan yang melihat pengganas komunis memasuki kampung mereka, telah mendapatkan perlindungan di dalam masjid.
Apabila kedengaran bunyi enjin bot pasukan bantuan yang di ketuai David Yates menghampiri tempat berlabuh di Bertam, penduduk-penduduk Melayu di situ menyedari Yates dan pasukannya akan masuk ke dalam perangkap komunis.
Pada waktu yang sama, pesawat R.A.F melancarkan operasi mengebom posisi komunis di sekitar Gua Musang.
Telah berlaku kesilapan dan juruterbang R.A.F telah melepaskan tembakan ke arah masjid mengakibatkan keadaan menjadi huru-hara.
Gerila-gerila komunis telah keluar dari posisi serang hendap dan di dalam keadaan panik, berundur dari Bertam.
Apabila Yates berlabuh, dia dan anggota-anggota bersamanya mendapati ramai orang-orang kampung keturunan Melayu terbunuh dan tercedera di dalam masjid.
Mereka memberi bantuan kepada orang-orang kampung itu, sebelum menggerakkan pasukan bantuan ke Gua Musang.
Prebet Radzi
Prebet Mohd Radzi, pemandu jeep Mejar Henderson, berpura-pura mati bila badannya diperiksa oleh gerila komunis setelah C Company Batalion ke dua Rejimen Askar Melayu berundur dari Sungai Yu.
Apabila malam tiba, Radzi yang cedera telah merangkak untuk mencari perlindungan di dalam belukar berdekatan.
Apabila siang, Radzi telah bersembunyi di dalam paya, 200 meter dari tempat jeep yang dipandunya di serang hendap. Menurut Radzi, beliau cuba meminta pertolongan dari orang kampung yang melintasi kawasan tersebut. Tetapi tiada siapa berani membantunya.
Radzi ditemui lapan hari selepas diserang hendap oleh Pasukan yang diketuai oleh David Yates, Ketua CID Kelantan setelah mendapat maklumat dari orang-orang kampung bahawa ada askar Melayu yang masih hidup di Sungai Yu.
Ketika di temui, Radzi di dalam keadaan kebuluran dan hanya minum dari air paya.
Ehsan National Library Board Singapore.
Ehsan National Library Board Singapore.
Pasukan yang sama juga menemui mayat Mejar Henderson. Henderson dan Prebet Nazri terbunuh serta merta di awal serang hendap. Prebet Radzi pula ditembak di bahu kanan dan lutut kiri.
Koperal Ismail
Koperal Ismail, yang turut menaiki jeep bersama Radzi ditemui oleh penduduk kampung dalam keadaan lebam akibat lama berendam air.
Ketika serangan hendap, Radzi telah terkena tembakan di lengan. Beliau kemudian bersembunyi di belukar, sebelum merangkap ke Sungai Yu bila keadaan telah reda. Dari Sungai Yu, Radzi telah dibawa arus.
Dengan penemuan Koperal Ismail, angka rasmi yang terbunuh di dalam serang hendap di Sungai Yu ialah empat perajurit.
Nota:
Mejar Raymond Henderson merupakan pegawai pertama Rejimen Askar Melayu yang terkorban dibunuh pengganas komunis. Dia disemadikan di Kuala Lipis. Henderson tidak meninggalkan waris, kerana anak dan isterinya dilaporkan terbunuh dalam kebakaran di London sebelum Henderson sendiri menemui ajalnya.
Ehsan National Library Board Singapore.
Ehsan National Library Board Singapore.
Lance Koperal Abdul Ghani telah di naikkan pangkat sebagai Sarjan ketika ditemubual oleh penulis.
Artikel di atas ditulis semula berdasarkan tulisan Tan Sri Hj. Mubin Sheppard, di dalam Berita Harian, 19 November 1969. Beberapa perubahan dibuat kepada gaya bahasa dan penceritaan bagi disesuaikan untuk bacaan masa kini.
sumber : http://sokmo.net/2015/01/24/kelantan-dalam-sejarah-wira-wira-selamatkan-gua-musang-dari-komunis-perak/

Thursday, December 25, 2014

Rahsia keungulan Bangsa Melayu

http://jalanakhirat.wordpress.com/2010/05/13/rahsia-keungulan-bangsa-melayu/

Tuesday, September 23, 2014

Haji Abdullah Hukum (1835 - 1930an)


Nama asal Haji Abdullah Hukum ialah Muhammad Rukun dan kemudiannya digelar mengikut adat sebagai Arya Jaya. Apabila beliau menunaikan fardu Haji ke Mekah semasa di Padang Arafah beliau digelar sebagai Haji Abdullah Hukum. Nama ini kekal hingga ke akhir hayatnya. Haji Abdullah Hukum juga dikenali dengan gelaran anugerah sultan iaitu " Datuk Dagang Di Anjuk ". Haji Abdullah Hukum telah dilahirkan pada 1835 dan kembali mengadap Ilahi pada sekitar tahun 1930-an. 

Ayahandanya pula bernama Sekancing, ertinya " kunci pintu " dan bergelar Tuk Pangku. Namanya ditukar kepada Haji Abdul Rahim, semasa berada di Padang Arafah.Haji Abdullah Hukum ini adalah dari suku kaum kerinci dan berasal dari kariah Sungai Abu, jajahan Sungai Penoh di negeri Kerinchi, Sumatera, Indonesia.

Beliau datang berdagang bersama ayahandanya ke Tanah Melayu pada tahun 1850, ketika berumur 15 tahun. Mereka telah singgah di Melaka selama tiga malam dan menumpang di rumah Datuk Dagang Haji Said, bapa mertua kepada Tambi Abdullah yang terkenal kaya di Kuala Lumpur. Dari Melaka mereka belayar menuju ke Pengkalan Kempas. Dari situ Haji Abdullah Hukum mengambil upah menggalas kain daripada seorang saudagar kain keturunan Kerinci, iaitu Haji Abdul Rahim untuk pergi ke Sungai Ujong. Mereka tinggal di situ selama lapan hari dan disebabkan tiada pekerjaan yang sesuai, mereka mengikut orang-orang menggalas kain untuk pergi ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur dikatakan banyak pekerjaan, seperti boleh bertanam sayur dan melampan bijih timah.

Haji Abdullah Hukum telah menetap di Selangor selama lebih daripada 85 tahun, iaitu semasa berumur 24 tahun di bawah kerajaan Melayu (1850-1874) dan 61 tahun di bawah pemerintahan kerajaan kolonial British (1874-1930-an).

Haji Abdullah Hukum telah tinggal lama di Tanah Melayu dan hidup di dua zaman yang berlainan iaitu lebih dua dekad hidup di zaman "keris dan pemuras" di bawah pemerintahan kerajaan Melayu dan lebih enam dekad selanjutnya di bawah pemerintahan kolonial British.

Di sepanjang zaman tersebut beliau telah terlibat dalam berbagai-bagai kegiatan untuk mencari rezeki. Mula-mulanya beliau bekerja dengan Sutan Puasa, mengambil upah membuat tali air di Segambut (Batu Lima di Setapak) dan selepas itu melampan di Setapak selama beberapa tahun. Tidak lama selepas itu ia menjadi petani dan kontraktor membina batas untuk Raja Bilah.

Haji Abdullah Hukum juga pernah menjadi juak-juak kepada Raja Mahmud bin Tengku Panglima Raja, seorang pembesar Selangor. Belia turut memainkan peranan dan terlibat dalam beberapa peperangan di Selangor sehingga 1870-an.

Selain itu beliau pernah menjadi peniaga kain di Semenyih, membuka tanah dan perkampungan di Pudu dengan perkenan Raja Laut yang ketika itu menjadi Raja Muda Selangor. Haji Abdullah Hukum di¬angkat menjadi Penghulu Masjid di Pudu oleh Raja Laut. Beliau juga pernah menjadi nakhoda mengambil upah membawa beras dari Kelang ke Kuala Lumpur dengan perahu dan membeli kerbau dari Pahang dan Dungun di Terengganu untuk diniagakan di Kuala Lumpur. Selain itu, beliau juga mendapat kebenaran membuka kebun di Bukit Nenas dan membuka kawasan perkampungan Sungai Putih, iaitu di Jalan Bangsar kini. Akhirnya beliau menetap di Sungai Putih, iaitu di kampung yang kini dikenali sebagai Kampung Haji Abdullah Hukum. Beliau telah dilantik oleh Sultan Sir Abdul Samad (1857-1898) sebagai salah seorang ketua masyarakat di Kuala Lumpur dengan gelaran Tuk Dagang Dianjuk. Apabila umurnya meningkat hampir 80 tahun (1912) beliau memohon bersara dari jawatan ketua itu dan mendapat pencen daripada kerajaan.

Haji Abdullah Hukum mempunyai seorang anak lelaki beliau adalah Haji Mahmood saudagar kain yang kaya pada zaman sebelum jepun menduduki Tanah Melayu. Pada tahun 1930-40an Haji Mahmood mempunyai dua anak lelaki iaitu Hashim dan Rahim. Dipercayai Haji Abdullah Hukum amat sayang kepada dua orang cucu lelaki nya. Mengikut sejarah masyarakat setempat di Kajang Haji Mahmood adalah seorang Melayu kaya yang pemurah, beliau suka menderma dan memberi makanan kepada penduduk fakir dan seluruh penduduk Kajang, bak kata orang Minangkabau " Haji Mahmood berantai baik nya "

Zaman keris dan pemuras

Selepas beberapa hari saja beliau berhijrah ke Tanah Melayu , semasa dalam perjalanan dari Sungai Ujung ke Kuala Lumpur beliau telah melihat satu kejadian yang dahsyat di Kajang. Beliau telah melihat perlawanan senjata yang dinamakan bertikam. Dalam kejadian itu ada seorang telah mati, ditikam oleh orang ramai sehingga darah nya mengalir. kejadian itu adalah disebabkan perempuan. Peristiwa ini berlaku pada 1850, tetapi ini bukanlah peristiwa terakhir yang dilihatnya kerana beliau juga turut menyaksikan "orang bertikam satu lama satu antara orang Pahang dengan orang Pahang juga, semasa ia membeli kerbau di Lubuk Terua (Semantan) Pahang. Menurutnya peristiwa itu berlaku " kerana yang seorang itu enggan memulangkan amanah dari Kuala Lumpur ... Yang mati itu ialah orang yang enggan ".

Sebenarnya banyak sekali peristiwa pembunuhan yang telah disaksikan beliau,ini adalah kerana kerana kekacauan sering berlaku di Selangor seperti di Cheras, Hulu Kelang, Ampang, Hulu Langat dan termasuk Kuala Lumpur sebelum pertengahan tahun 1870-an. dan beliau sendiri adalah juak-juak kepada seorang pembesar Selangor, iaitu Raja Mahmud. Perang atau kekacauan ini selalunya berpunca daripada perebutan kawasan yang mengandungi hasil bijih dan seterusnya untuk berkuasa di sesuatu kawasan itu. Di Selangor contohnya, pada 1858 dikatakan telah berlaku pergaduhan di antara Raja Bugis dengan Raja Mengampang, kedua-duanya orang Mendahiling. Raja Mengampang mempunyai lampan bijih di Hulu Langat dengan kebenaran Sultan Abdul Samad. Tetapi Raja Bugis dari Kajang hendak membuka lampan pula di sebelah hulu Sungai Langat. Ini menimbulkan kemarahan Raja Mengampang. Haji Abdullah Hukum berkata, "Menurut adat zaman berkeris dahulu, ketika itu kita wajib menghunus senjata". Inilah yang berlaku hingga ramai kedua belah pihak tersebut terkorban. Pergaduhan itu berlaku selama tiga bulan.

Satu lagi contoh "zaman keris dan pemuras" ialah peristiwa yang berlaku di antara Raja Mahmud, Ketua kepada Hj. Abdullah Hukum dengan Raja Layang. Raja Mahmud ialah salah seorang pembesar Selangor di Kuala Lumpur yang berperang menentang serangan orang Pahang di sekitar 1873, di Hulu Kelang. Manakala Raja Layang (orang Minangkabau) telah bersekutu dengan orang Pahang. Raja Layang dikatakan telah melarikan diri ke Rekoh dan dengan itu Raja Mahmud berazam untuk membunuhnya. Raja Mahmud telah berangkat ke Kajang, tetapi Raja Layang yang berada di Rekoh sudah pun melarikan diri. Haji Abdullah Hukum adalah di antara ramai panglima dan juak-juak Raja Mahmud pada masa itu. Menurutnya sebaik saja Raja Mahmud tiba di Rekoh, dia telah bertemu dengan seorang Minangkabau yang nampaknya tidak ambil peduli kepadanya. Raja Mahmud bertanya seperti berikut: "Awak orang mana?" Jawabnya, "Saya orang Minangkabau", Raja Mahmud bertanya lagi, "Siapa ketuaan awak?" Jawabnya, "Raja Layang". Dengan itu dikatakan, "Itulah dua patah soal jawab sahaja. Orang itu pun ditikam oleh Raja Mahmud sama sekali sahaja mati di situ jua".

Raja Mahmud memasuki pekan Rekoh untuk mencari Haji Abdul Samad, orang Minangkabau juga. Apabila ditemui Haji Abdul Samad, Raja Mahmud bertanya, "Siapa ketuaan Pak Haji? Jawabnya, "Tuankulah!" Dengan itu, niat Raja Mahmud hendak membunuhnya tidak terlaksana. Di sebaliknya, "Haji Abdul Samad dipeluknya" dan diberikan "wang sepuluh ringgit belanja menanam orang yang di¬tikamnya tadi". Selepas peristiwa ini Raja Mahmud pulang ke KuaIa Lumpur.

Ini adalah satu aspek daripada adat di zaman tersebut. Namun begitu, terdapat juga adat di mana seorang pembesar seperti Raja Mahmud ini dikehendaki membayar diyat apabila anak buahnya melakukan kesalahan. Satu peristiwa yang diceritakan oleh Haji Abdullah Hukum ialah mengenai seorang keturunan Kerinchi yang mengambil upah menggalas bijih timah terbunuh dalam satu rompakan. Perompak itu dikatakan orang Raja Mahmud. Dengan itu sekumpulan 30 orang Kerinchi telah pergi menemui Raja Mahmud. Dialog berikut membawa maksud yang tersendiri,

"Apabila sirih telah dikapur maka Imam Perang Mangku iaitu kepala dan jurucakap orang Kerinchi itu pun berkata harap diampun Tengku? Kedatangan patik-patik semua ini ialah kerana hendak mengadu seorang daripada waris kami telah mati dalam kawasan Tengku. Itulah kami sembahkan jika hilang minta dicari, cicir minta dipungut, kalau luka minta dipampas dan jika mati minta didiyat".

Raja Mahmud telah memberikan "sarong keris terapang emas" sebagai jadi tanda diyat itu dan ini akan ditebusnya dengan wang $100 kemudiannya.

Haji Abdullah Hukum dan Kuala Lumpur

Apabila Hj. Abdullah Hukum mula-mula sampai di Kuala Lumpur, beliau menumpang tinggal di rumah Haji Abdul Ghani, orang Air Bangis (Minangkabau) yang berkedai di suatu lorong yang kemudiannya dikenali sebagai Java Street. Selain itu pekan Kuala Lumpur hanya mempunyai satu lorong lain, iaitu dikenali kemudiannya sebagai Market Street semasa itu Ampang Street (Lorong Ceti) belum muncul lagi. Di kawasan ini terdapat kolam-kolam ikan yang dimiliki oleh Sutan Puasa. Beliau bersama Raja Bilah ialah pembesar bagi masyarakat Kuala Lumpur ketika itu bertugas mengutip hasil dagangan yang lalu lintas melalui Sungai Kiang atau Sungai Gombak. Cukai timah ialah seringgit sebahara (tiga pikul).

Di tahun 1850-an itu rumah kedai di Kuala Lumpur beratap bertam, dinding pelupuh (buluh) dan orang yang berniaga di situ seperti menjual kain-kain dan makanan semuanya orang Melayu, iaitu keturunan Rawa dan Mandailing.

Jalan keluar masuk kuala Lumpur ialah menggunakan perahu atau berjalan kaki. Perahu dagang mengambil masa di antara 10-15 hari bergalah dari Kelang untuk sampai ke Kuala Lumpur. Kalau airnya daiam boleh sampai dalam tiga hari.

Bermula dari tahun 1859, penduduk Kuala Lumpur menjadi semakin bertambah. Pembesar-pembesar Melayu mula menggunakan ramai pekerja Cina untuk membuka kawasan lombong di sekitar Kuala Lumpur, terutamanya di Ampang. Akibatnya orang-orang Cina juga mula terlibat dalam perniagaan. Yap Ah Loy, Kapitan Cina (1868-1885) memiliki kira-kira separuh daripada rumah kedai di Kuala Lumpur.

Sehingga awal 1880-an hanya 70 daripada 220 rumah kedai berada di tangan orang Melayu. Menurut Haji Abdullah Hukum, orang-orang Melayu yang kaya pada masa itu kebanyakannya ialah orang Minangkabau.

Selain golongan peniaga, terdapat juga orang Melayu yang membuka beberapa kawasan penempatan dan kebun di Kuala Lumpur. Di antaranya ialah di Setapak yang dahulunya dikenali sebagai Sungai Tapak, di Pudu, Bukit Nenas, Petaling, Batu dan di Sungai Putih (Jalan Bangsar).

Antara tanaman penduduk Melayu di tempat-tempat tersebut ialah padi, sayur-sayuran, tebu, pisang, sirih. Pokok-pokok yang disukai oleh orang Melayu yang menerokai pembukaan Kuala Lumpur ini ialah kopi dan lada hitam.

Disebabkan penduduk Melayu di pusat bandar Kuala Lumpur ketika itu agak ramai, maka didirikan juga dua buah masjid. Yang pertama didirikan oleh Encik Baki, orang Melaka yang juga bapa mertua kepada Haji Abdullah Hukum dan dinamakan Masjid Melaka kerana ia didirikan atas pakatan orang Melaka dan tukang serta pegawainya juga terdiri daripada mereka. Tempat masjid itu ialah di Kampung Melaka (Batu Lane kemudiannya). Tetapi masjid itu akhirnya diambil alih oleh masyarakat India Muslim dan sejak itu (terutamanya pada 1930-an) ia dikenali sebagai Masjid Keling atau Masjid Chulia. Pada ketika itu orang Minangkabau juga telah mendirikan sebuah masjid lain, iaitu berdekatan dengan gedung Gian Singh pada 1930-an.
55 mins · Like · 6

Hangpcdua Malaya Disebabkan adanya dua buah masjid bagi masyarakat Melayu di Kuala Lumpur, maka terjadilah perselisihan kerana masing-masing hendak mendirikan solat Jumaat di Masjid mereka. Ini hampir menimbulkan perkelahian besar. Tetapi dengan campur tangan Sultan Abdul Samad, sembahyang Jumaat telah diadakan secara bergilir-gilir maka selesailah perselihan faham tersebut.

Sejak Kuala Lumpur dibuka hingga 1890-an, Bukit Nenas adalah pusat kuasa bagi masyarakat Melayu kerana wakil Sultan menetap di situ. Jika ada sebarang keramaian tradisional seperti sempena perlantikan ketua atau pembesar masyarakat Melayu, maka ia diadakan di Bukit Nenas. Antaranya sempena perlantikan Tuk Alam Setapak, Tuk Bela Sungai Cantik, Imam Perang Muhammad Arif, Raja Utih dan Tuk Dagang Dianjuk (Haji Abdullah Hukum sendiri), dimana satu keramaian telah diadakan selama tujuh hari tujuh malam menurut adat keramaian zaman dahulu.

Sungguhpun Kuala Lumpur menjadi semakin maju dan berkembang pesat selepas campur tangan British pada 1875, namun penduduk Melayu yang berjaya untuk berkongsi kemajuan awal Kuala Lumpur sejak 1850-an telah mula tersisih daripada arus pembangunannya.Ini dikuatkan lagi dengan perkembangan dimana masyarakat Melayu telah berpindah dari bandar Kuala Lumpur untuk membuka perkampungan baru di pinggir kota, berakhirnya pemilikan Masjid Melaka oleh orang Melayu Melaka,penutupan perkuburan Islam (Melayu) di kuala antara Sungai Gombak dengan Sungai Klang, terbentuknya Kampung Baru, Kuala Lumpur atas usaha pentadbiran British untuk melihat masyarakat Melayu berterusan berada di sekitar bandar Kuala Lumpur, tetapi berada dalam dunia mereka yang tersendiri, iaitu dibuai oleh nostalgia hidup dalam alam perkampungan yang aman damai.

Dewasa ini nama Haji Abdullah Hukum hanya tercatat pada nama Kampung Hj Abdullah Hukum, ramai yang tidak tahu tentang beliau dan kaitan beliau dengan sejarah Selangor dan Kuala Lumpur.Maka dengan itu usaha-usaha harus dijalankan untuk menyelidiki dengan lebih dalam lagi tentang susur galur dan sejarah beliau demi mengelakkan sejarah negara kita akan terus terkubur.

credit to : https://www.facebook.com/hangpcdua.malaya?fref=nf

Tuesday, March 18, 2014

Imam Bukhari

                           Makam Imam al-Bukhari di Samarkand

Nama: Muhammad al-Bukhari
Gelaran:Imam Bukhari
Lahir: 194 H
Wafat: 256 H
Mazhab: Syafie
Etnik: Parsi
Rantau: Empayar Parsi
Bidang: Hadis
Karya: Sahih Bukhari
Pengaruh:Imam Muslim
Diilhami:Imam Ahmad

Muhammad Ibn Ismail Ibn Ibrahim Ibn al-Mughirah Ibn Bardizbah al-Bukhari (محمد بن اسماعيل بن ابراهيم بن المغيرة بن بردزبه البخاري), adalah pengarang kumpulan tradisi yang dikumpulkan dalam Sahih Bukhari, yang dianggap orang Islam Sunni sebagai Hadith sahih daripada Nabi Muhammad s.a.w.. Imam Bukhari (810 – 870) dilahirkan di Bukhara (Bokharä) (kini di Uzbekistan), pada keluarga Iran, pada 194 H (810 M).

Imam al-Bukhari dilahirkan pada 13 Syawal 194 Hijrah di bandar Bokhara, di bahagian timur negeri Uzbekistan. Bapanya meninggal dunia semasa ia masih kanak-kanak, dan ibunya membesarkan beliau bersendirian. Ibunya memelihara dan mendidiknya dengan penuh ihsan serta berkorban apa sahaja untuk memberikan pendidikan yang terbaik kepada beliau.

Semasa kecil lagi, nilai intelek Imam Bukhari telah teserlah. Beliau amat warak dan mempunyai daya ingatan yang luar biasa serta mempunyai kesungguhan dalam pelajarannya. Diriwayatkan bahawa ketika di dalam belasan tahun, beliau sudah menghafal 70,000 hadis Rasulullah s.a.w.

Ketika berumur 16 tahun, Imam Bukhari pergi ke Makkah bersama ibunya untuk menunaikan Haji. Imam Bukhari terlalu seronok berada di Makkah sehinggakan dia memanjangkan tempoh lawatan di Makkah untuk membolehkan beliau berguru dengan cendekiawan di Makkah. Pada umur 18 tahun, Imam Bukhari menerbitkan bukunya yang pertama mengenai sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w., dan selepas itu buku sejarah bertajuk "Al-Tarikh-al-Kabir".

Imam Bukhari amat meminati sejarah dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. dan menumpukan banyak tenaga bertemu dan belajar dengan cendekiawan yang terulung untuk mempelajari dan membahaskan hadis Rasulullah. Imam Bukhari melawat Damsyik, Kaherah, Baghdad, Basra, Madinah dan lain-lain tempat untuk belajar dan membincangkan hadis-hadis yang dipelajari. Semasa di Baghdad, Imam Bukhari selalu berbincang dengan Imam Ahmed Hanbal, pengasas fahaman (mazhab) Hanbali.

Semasa pengembaraannya, Imam Bukhari hanya mempunyai satu matlamat – mengumpulkan seberapa banyak ilmu yang mungkin boleh dikumpul untuk membolehkan beliau membuat pengumpulan yang terbesar sunnah hadis Rasulullah s.a.w.. Beliau begitu giat menulis, dan pada satu ketika berkata "Saya sudah menulis mengenai 1800 orang, setiap satunya meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w., dan saya hanya menulis mengenai mereka yang lulus ujian yang ditetapkan."

Imam Bukhari mempunyai ingatan yang mengkagumkan, dan sumbangannya terhadap sains pengumpulan hadis tidak dapat ditandingi. Dia merakamkan hadis Rasulullah s.a.w. dalam buku "Al-Jami-al-Sahih”. Dia membuat penyelidikan selama 16 tahun dan meneliti 600,000 buah hadis sebelum memilih 7,525 buah hadis yang beliau berpuas hati menepati takrif kesahihan yang beliau tetapkan.

Kepopularan Imam Bukhari menimbulkan perasaan iri hati di kalangan beberapa orang ulama yang akhirnya mengakibatkan beliau diusir dari bumi Bukhara oleh Gabenornya. Dia mati dalam buangan pada malam Aidilfitri dalam tahun 256 Hijrah di Khartank dekat Samarkand. [1] Makam Imam Al-Bukhari terletak 12 kilometer di utara Samarkand.

Karya
Sahih Bukhari
Al Adab Al Mufrad الأدب المفرد
al-Tarikh al-Kabir - sejarah besar, lengkap dengan biografi periwayat beserta rating
al-Tarikh al-Saghir - sejarah kecil

sumber : wikipedia